KONSEP TAKAFUL
Takaful merupakan salah satu konsep insurans yang berasaskan Muamalat Islam, yang berlandaskan hukum Syariah. Konsep ini sebenarnya telahpun diamalkan sejak lebih 1,400 tahun.
Pada asasnya, sistem Takaful berteraskan konsep kerjasama, tanggungjawab, jaminan, perlindungan dan saling membantu di kalangan para pesertanya.
Dalam erti kata lain, ia merupakan penyediaan sumbangan yang dikongsi bersama bagi membantu mereka yang memerlukannya.
Asas falsafah ini adalah berpandukan kepada beberapa hadith Rasulullah s.a.w. yang antaranya:
Dalil Kerjasama
- Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya selagi mereka saling membantu antara satu sama lain.
(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Abu Daud)
Dalil Tanggungjawab
- Ibarat hubungan dan perasaan orang-orang beriman sesama mereka adalah seperti jasad, apabila salah satu daripadanya ditimpa kesusahan, maka seluruh anggota yang lain juga akan merasainya. (Diriwayatkan oleh Imam al- Bukhari dan Imam Muslim)
- Muslim yang sebenar (Mu’min) dengan Muslim yang lain (Mu’min) diibaratkan seperti bangunan di mana setiap bahagian menyokong bahagian yang lain. (Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)
Dalil Saling Melindungi
- Demi hayatku yang berada dalam kekuasaan Allah, tiada siapa akan masuk Syurga jika beliau tidak melindungi jirannya yang berada dalam kesusahan.
(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad) Berasaskan hadith di atas, para ilmuan Islam memutuskan bahawa usaha bersepadu perlu wujud untuk melaksanakan konsep Takaful sebagai kaedah terbaik untuk memenuhi tuntutan ini.
Memahami Kontrak Takaful
- Meskipun konsep insurans dibenarkan di dalam Syariah, terdapat beberapa amalan insurans konvensional yang bercanggah. Amalan Takaful yang dipraktikkan sekarang menggunakan gabungan dua jenis ‘Aqad (kontrak). Ianya adalah kontrak Tabarru’ (derma) dan Wakalah (ejensi) yang bebas daripada sebarang unsur Riba (faedah), Maisir (perjudian) dan Gharar (tidak jelas). Sistem Takaful memberi penekanan terhadap semangat kerjasama dan tanggungjawab sesama para peserta.
MODEL TAKAFUL
Takaful IKHLAS menggunakan kontrak berikut sebagai garis panduan perniagaan kami:
- Kontrak Tabarru’ di mana peserta bersetuju mendermakan peratusan yang telah ditentukan daripada sumbangan kepada dana untuk membantu peserta lain.
- Kontrak Al-Wakalah di mana peserta membenarkan Takaful IKHLAS untuk menguruskan hal-ehwal dana bagi pihak beliau.
Model Takaful IKHLAS membolehkan penggunaan pihak ketiga sebagai pengantara untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggan, membuat pembayaran lebihan dan keuntungan kepada peserta, jika ada dan membuat pengiraan keuntungan bersama secara bulanan.
FATWA
Keputusan Fatwa Muzakarah Jaw. Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kategori : Ekonomi Tajuk : Insurans
Keputusan 1
Insurans am iaitu lain daripada insurans nyawa adalah harus. Oleh : Persidangan Ulama Malaysia kali ke 16 Tarikh Keputusan : 1 Oktober 1970 Tarikh Muzakarah : 1 Oktober 1970 hingga 2 Oktober 1970.
Keputusan 2
Insuran nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insuran yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad kerana aqadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu;
a. Mengandungi gharar (ketidak-tentuan)
b. Mengandungi unsur judi.
c. Mengandungi muamalah riba.
Oleh : Persidangan ke 16 Tarikh Keputusan : 15 Feb 1979 Tarikh Muzakarah : 15 Feb 1979 hingga 16 Feb 1979.
Sumber : JAKIM
